
Berbagai-bagai aktiviti dijalankan sempena HKS. Antaranya ialah pertandingan kuiz, petanq, melukis, menulis esei dan seminar. Pertandingan kuiz Koperasi Sekolah telah bermula sejak 1991 lagi. Memandangkan pertandingan kuiz ini mendapat sambutan yang menggalakkan, ANGKASA menjadikannya sebagai aktiviti tetap semasa sambutan HKS. Pertandingan ini menguji keupayaan pelajar sejauh mana pengetahuan mereka tentang koperasi. Acara Pantun dan Pidato juga dipertandingkan semasa pertandingan kuiz HKS ini.
Dalam tahun 1995 juga, ANGKASA menawarkan hadiah lawatan ke luar negara kepada pelajar terbaik pertandingan kuiz. Pada tahun itu, tiga orang pelajar telah dihantar ke Manchester manakala pada tahun-tahun berikutnya dua orang pelajar mengikuti lawatan ke negara Jepun (1996, 2000, 2002 dan 2003), Switzerland, Bangkok, Canada, Korea, Singapura dan Indonesia. Bagi pasukan Johan Pertandingan Kuiz dan Petanq, mereka dibawa lawatan ke Negara ASEAN seperti Indonesia, Cambodia, Thailand dan Singapura di samping hadiah sebuah komputer peribadi bagi pasukan kuiz dan sebuah gelanggang petanq bagi pasukan petanq.
Perkembangan yang begitu menggalakkan untuk sambutan HKS ini dapat dilihat melaiui penyertaan dalam pertandingan-pertandingan yang dianjurkan. Atas sokongan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan permintaan daripada pihak koperasi sekolah, HKS dianjurkan di peringkat zon dan negeri. Pada tahun 2005, lebih daripada 4884 orang daripada 1221 buah koperasi sekolah telah menyertai HKS di peringkat zan dan negeri manakala 1335 orang daripada 156 buah koperasi sekolah telah menyertai HKS peringkat Kebangsaan di Kelana Jaya.
ANGKASA meneliti dan mengkaji cara penganjuran dan kesan sambutan HKS. Memandangkan bilangan koperasi sekolah ahli ANGKASA adalah 1473 buah dan bilangan keanggotaan melebihi 1.5 juta orang, penyertaan 4884 orang dalam tahun 2005 adalah terlalu kecil iaitu kurang daripada satu peratus.
Berbagai usaha penerangan telah dilakukan untuk menarik minat lebih banyak sekolah untuk menyertai HKS dan dengan itu 2006 merupakan tahun di mana HKS telah membuat satu perubahan besar dari segi penganjurannya. HKS disambut di peringkat sekolah dengan tujuan utama untuk mencanangkan kewujudan dan peranan koperasi sekolah serta menggembleng penyertaan menyeluruh meliputi pelajar, guru, kakitangan, PIBG dan masyarakat setempat.
Hasilnya 920 buah koperasi sekolah ahli ANGKASA seluruh negara telah menyambut HKS dengan berbagai acara dan kegiatan. Menunjukkan Hari Koperasi Sekolah telah diterima diperingkat sekolah. Semoga sambutan Hari Koperasi Sekolah 2007 akan berjaya seperti tahun-tahun sebelumnya.
No comments:
Post a Comment